Sunday, November 28, 2010

Bahagian 2 : Haruan


Mentari pagi segalah memanjat, memancar terik. Dasar telaga terasa bahang kepanasan. Lelabah air memeluk erat perdu-perdu menerong, kepanasan permukaan air bisa mencair dada-dada nipis. Embun pagi mengering dihisap belalang kunyit yang kehausan.
Tiba-tiba keheningan pagi tersentak dik teriakan Mak Puyu.
“Solehah balik”
“Samsiah balik”
“Sakinah balik, panas ni. Kamu tak takut ke? Kamu tak dengar cerita di telaga kita?”

Anak-anak puyu berlari beriringan mencari Mak Puyu yang menjerit memanggil. Berdetup hati semua ikan Telaga Tok Jabah bila Mak Puyu mengulang cerita sensasi itu. Haruan Muda tidak mahu cerita ini diungkit lagi. Malu yang amat besar, malu seluruh keturunan haruan. Malah toman belang turut berasa malu kerana raut wajahnya hampir sama dengan keturunan haruan. Biarkan cerita haruan makan anak habis disini saja. Tamat. Seluruh isi telaga Tok Jabah sudah tak tertahan menanggung malu. Kalau boleh cerita ini ditutup begitu sahaja. Biarkan ia berlalu.

Kenapa Mak Puyu ulang lagi cerita itu. Sebenarnya Mak Puyu panik selepas ketiadaan bapa puyu. Bapa puyu sudah tiada. Bapa puyu sudah tewas, ditipu keenakan cacing mata kail. Sudah menjadi rencah masak asam pedas dengan buah lakom. Sejak itu Mak Puyu agak-agak berhati-hati. Tidak mahu pisang berbuah dua kali.

Hari ini peristiwa besar akan berlaku. Semua suku sakat ikan tahu bahawa hari ini satu perbicaraan akan diadakan. Perbicaraan yang seadil-adilnya, tanpa unsur fitnah, tanpa rasuah, semuanya berdasarkan bukti yang hakiki.

Tok Keli tampil dengan mata bersaga. Janggut Tok Keli terbuai-buai dibawa arus air Telaga Tok Jabah. Arus air yang membawa bersama kutu-kutu air, cacing halus dan buah-buah lumut. Yang memberi sumber makanan penghuni telaga.

Kearifan Tok Keli jelas terpancar dari raut wajahnya. Mata Tok Keli memandang tepat wajah Haruan Bantut. Menyelinap masuk melalui salur darah Haruan Bantut dan terus mendesup ke jantung. Tok Keli cuba mengoyak jantung Haruan Bantut .
“Ruan, hang dituduh memakan anak sendiri. Betui ke?” Soalan pertama Tok Keli memecah keheningan pagi Telaga Tok Jabah.
“Betui Tok” tegas dan berani jawapan Haruan Bantut tanpa ada sekelumit rasa penyesalan.
“Ruan, awat hang buat lagu ni?” Tok Keli inginkan kepastian.

Dan seluruh isi Telaga Tok Jabah inginkan kepastian. Haruan Janda pun inginkan kepastian. Kepastian Haruan Janda adalah kepastian yang bermakna.
“Mengapa aku tidak dipilih, sedangkan aku lebih berpengalaman, aku sudah melahirkan berpuluh-puluh anak, aku masih mantap, menjadi pujaan jantan-jantan ” terdetik dihati kecil Haruan Janda untuk memiliki kesasaan Haruan Bantut yang diidamkannya selama ini.

“Tok, Ibu-ibu haruan disini semua sudah tua, sudah berkedut. Apabila berusia mereka sudah tidak mementingkan kecantikan. Kecantikan sudah diketepikan. Sibuk menjaga anak hingga lupa tanggungjawab terhadap suami. Menghias diri jauh sekali. Badan mereka sudah tidak selangsing dahulu. Tok tengok saja Sepat. Sepat Siam pun sudah kering. Tidak semontok dahulu ”. Hujah Haruan Bantut dengan bahasa yang tersusun amat mantap tidak siapa boleh mempertikai. Keegoan menerpa dalam dada Haruan Bantut.

Ibu-ibu haruan tunduk malu sambil meraba dada masing-masing. Dada sudah mengelebeh tidak menggunung seperti dahulu. Sudah tidak menawan Haruan Bantut bahkan haruan jantan lain pun sudah tidak tertarik. Cuma Haruan Bantut berani melepaskan gelodah hati.
“Krek..Krek.. Tapi awat hang sanggup makan anak sendiri, tak buleh macam tu.” Tok Keli meninggikan suara dengan loghat utara bercampur siam yang pekat.

Tersenyum sinis suku sakat ikan yang sedang mendengar perbicaraan. Sepat Ronggeng yang terselit celah pelepah nipah juga tersenyum manis. Lebih manis kalau dibuat asam pedas. Memang semua tahu, Tok Keli peneroka awal telaga berasal dari Sungai Kodiang dekat Padang Sera kemudian berhijrah ke Sungai Sanglang dan akhirnya masuk ke Telaga Tok Jabah.

Temekung Kuala sedari tadi mencatat segala butiran agar tidak terlepas. Ini cerita sensasi, kontroversi yang boleh dijadikan modal bicara di muara kuala tempat berkumpul segala jenis ikan.
“Tok, saya jantan, saya masih gagah, Tok lihat tubuh saya, hitam sasa, saya punya nafsu, saya perlu melampiaskan nafsu saya”

“Dak.. aih awat dengan anak sendiri” Tok Keli inginkan kepastian.
“Kita ada pegangan, kita ada agama. Kita harus berpegang kepada tali agama. Kita harus bersabar. Aku takut kita akan ditimpa bala dengan perbuatan hang. Di mana sikap mulia hang dulu. Hang tak tang mana?”. Tok Keli mula berbicara sebagai seorang yang arif.

Memang banyak kes yang tok adili. Kes Sepat Kedah berebut tempat bertelur dengan Sepat Ronggeng. Kes Temekung kena tampar mulutnya dengan Lampam Jawa. Dan banyak lagi. Tapi kes kali ini agak rumit. Pertama kali. Kes haruan makan anak.

“Tok, ini bukan salah saya, tok lihat sendiri bagaimana pembangunan berlaku di telaga kita. Tok lihat cara pergaulan remaja telaga kita . Mereka bebas bergaul antara jantan dan betina . Tak ada batas. Banyak kes-kes maksiat berlaku. Bukan sahaja sesama jenis ikan bahkan dengan ikan jenis lain berlaku. Semua ni apa Tok?”

“Ruan, hang sebagai ikan yang lebih dewasa patut bagi nasihat, patut mengawal benda-benda ni. Ini tidak hang pun turut sama.”

“Tok, saya jantan tok. Saya tergoda tok. Isteri, isteri dan isteri saya terlalu sibuk. Sibuk dengan kerja-kerja mereka. Sibuk menangkap katak-katak air. Saya tidak dipedulikan lagi. Saya dibiarkan kesepian. Saya kehausan kasih sayang. Saya mahu dibelai. Belian daripada seorang isteri. Saya ingin dimanjai. Saya ingin diulit. Semua itu tiada lagi sejak isteri-isteri saya mengenjah beratus-ratus anak”. Keharuan menghuni seluruh Telaga Tok Jabah. Suasana sendu terasa disetiap celah-celah perdu nipah, dicelah-celah pokok menerong, dicelah-celah pucuk paku rawan dan dicelah-celah akar jawi yang berjuntai mencecah air.

“Krek..Krek..walau bagaimanapun Ruan hang tetap bersalah. Bersalah kerana telah memakan anak sendiri. Maka dengan kuasa yang ada pada aku. Dengan bukti-bukti yang ada, sah bahawa kes ini telah berlaku. Hukumannya ialah..” Tiba-tiba Tok Keli terhenti berkata-kata. Lampam Jawa terpinga-pinga. Semua menanti. Menanti apakah hukuman yang akan dijatuhkan. Hukuman yang setimpal dengan Haruan Bantut Hukuman ke atas mereka sanggup memakan anak sendiri. Hukuman yang memberi pengajaran kepada semua isi Telaga Tok Jabah. Menjadi pengajaran kepada penghuni Sungai Pahang, Sungai Kelantan, Sungai Perak dan seluruh jagat.

Semua memandang tepat kepada mulut Tok Keli. Janggut Tok Keli dibilang-bilang satu persatu oleh semua. Menanti lontaran hukuman daripada Tok Keli.

Kedebum!!! satu benda panjang sebesar batang pinang mencecah dasar telaga Tok Jabah. Suara-suara asing kedengaran dipinggir telaga. Berkata sesuatu yang tidak difahami. Pintu masuk Telaga Tok Jabah ditutup, ditimbun dengan tanah. Sehingga tiada lagi aliran air dari luar masuk. Tok Keli faham apa akan berlaku. Peristiwa ini pernah berlaku dua tahun lalu. Tapi usia Tok Keli masih panjang. Tok Keli selamat.
Kini akan berulang kembali. Tok Keli memandang tepat dan sayu kepada mata-mata yang memandangnya. Memandang sayu kepada Haruan Janda. Dan Haruan Janda tersipu-sipu malu sambil menjeling. Jelingan manja. Memandang sayu Sepat Ronggeng, Sepat Siam, Temekung , Lampam Jawa dan Mak Puyu. Merenung pokok-pokok nipah, batang-batang menerong. Merenung dan merenung.

Telaga Tok Jabah akan dikeringkan oleh suara-suara asing. Gergasi penyedut akan menyedut setiap titik air yang ada dalam telaga. Dan akhirnya ikan-ikan akan terdampar di atas lumpur. Ditangkap. Ditangkap. Ditangkap. Kematian sedang menanti.

Semua penghuni Telaga Tok Jabah tahu inilah bala yang akan diterima oleh mereka. Bala atas perbuatan Haruan Bantut memakan anak sendiri. Bala yang tidak memilih sesiapa dan akhirnya semua terpaksa menerima akibat. Kematian.

Sunday, November 21, 2010

Cerrpen : Haruan

Telaga Tok Jabah gempar. Seluruh jagat tahu . Tahu berita haruan makan anak. Haruan Bantut makan anak bila ibunya keluar mencari rezeki. Ah, serakahnya nafsu haruan! Kenapa? Kenapa boleh jadi begini. Dimana hilangnya maruah semua ikan dalam Telaga Tok Jabah. Malu oh betapa malu, malu yang amat besar. Malu kalau berita ini tersebar ke telaga-telaga lain. Malu kalau tersebar ke sungai-sungai besar. Sudah pasti berita ini akan tersebar apabila ada ikan-ikan lain datang melawat sanak saudaranya di Telaga Tok Jabah dan kemudian kembali ke sungai-sungai, ke parit-parit, ke bekas-bekas lombong . Pasti!

Malu apabila anak-anak muda yang tinggal di telaga ini keluar berkerja di luar dan membawa berita ini. Dan lebih memalukan jika ikan-ikan lain tahu bahawa mereka berasal dari Telaga Tok Jabah. Di mana hendak disorokan muka. Berita ini tidak boleh di halang. Siapa yang boleh menutup mulut celupar Temekung. Temekung akan menjajanya keseluruh kawasan, di bawah jambatan, di bawah rumah tepi sungai. Temekung jaja. Berita ini akan tersebar dengan cepat sekali bersama derasnya aliran air. Bau hanyir darah dara anak haruan akan tersebar melalui air yang mengalir.



Kenapa boleh jadi begini?
Kenapa?

Mungkinkah haruan tertarik kepada ikan lampam yang selalu bermain di celah-celah akar pokok jawi. Haruan tertarik dengan Lampam Jawa atau Lampam Ara yang putih bersih. Yang selalu mendamparkan diri di bawah silauan cahaya mentari. Haruan Bantut tidak tahan dengan keletah manja lampam-lampam yang bukan spesiesnya. Kemanjaan yang menggoda.

Di mana hilangnya keimanan haruan sebagai wargatua. Kenapa sanggup makan anak sendiri. Di mana letaknya nilai moral Haruan Bantut sehingga sanggup makan anak sendiri. Hilangkah pertimbangan Haruan Bantut sebagai wargatua, peneroka awal Telaga Tok Jabah .

Tingkah laku Haruan Bantut bukan sahaja memalukan dirinya sahaja malah spesies haruan jantan turut merasa tempiasnya. Siapa yang berasa dirinya jantan akan terasa malunya . Lainlah kalau ada yang jantan di telaga Tok Jabah tidak mahu mengaku jantan. Golongan wargatua akan disindir, tidak akan dipercayai lagi. Kaum ibu tidak berani meninggalkan anak-anak untuk dijaga oleh kaum bapa. Mereka takut peristiwa ini akan berulang lagi. Mereka takut perkara ini akan menjadi ikutan kaum bapa lain.



Kenikmatan daging lembut anak-anak haruan menjadi idaman jantan-jantan. Manis dan enak . Ah! Malah mereka akan takut jika datuk ikan turut bertindak dengan cara yang sama. Memakan cucu. Ya! Perkara ini pasti berlaku , bukankah Tuk Haruan juga jantan. Jantan tetap jantan, di mana-manapun jantan walaupun dimamah usia. Hajat tetap bergelora, nafsu tetap serakah. Kebimbangan kaum ibu adalah kebimbangan hakiki.

Tok Keli turut merasa malu. Tok Baung turut malu. Malu yang amat besar. Golongan bapa akan dipandang sinis. Pandangan yang menghina.

Pintu masuk ke Telaga Tok Jabah, tempat lepak golongan tua kerana kejernihan airnya akan menjadi tempat yang ditakuti oleh haruan dara, sepat dara dan dara-dara yang lain. Jelingan-jelingan kaki lepak ini akan menakutkan mereka. Mereka takut peristiwa itu akan berulang kembali. Selama ini kisah seperti ini sudah mereka dengar di daerah-daerah lain. Sungai Pahang pun pernah berlaku, Sungai Perak pun pernah berlaku dan banyak lagi tempat yang mereka dengar pernah berlaku peristiwa haruan makan anak. Terbaru di Sungai Kelantan.


Tapi kini, di daerah sendiri, tepi rumah mereka sendiri. Ikan yang mereka kenali. Haruan Bantut siapa yang tidak kenal. Ikan haruan yang paling gagah diantara haruan- haruan yang ada dalam telaga Tok Jabah. Siapa yang berani melawan Haruan Bantut ibarat menempah maut. Kegagahannya tersebar ke telaga-telaga lain. Tubuhnya besar, hitam dan sasa.

Tapi, kenapa kali ini Haruan Bantut tewas. Dimana letaknya kegagahannya selama ini. Tewas bererti kalah. Kalah bererti hilangnya maruah. Maruah yang dipertahankan setiap spesies ikan. Hilang maruah hilang harga diri. Dimana hendak disimpan muncung Haruan Bantut. Akar-akar pokok jawi tidak mampu melindung mukanya yang sudah terconteng.

Perdu-perdu nipah sudahpun dipenuhi oleh haruan-haruan jantan lain yang turut merasa malu. Tiada lagi tempat bersembunyi. Sudah pasti suatu masa nanti Haruan Bantut akan terserempak ikan-ikan lain. Mampus kalau ia terserempak dengan Temekung Kuala. Suaranya saja sudah menyakitkan telinga inikan pula kalau ada cerita sensasi.


Menyalahkan Haruan Bantut sepenuhnya tidak adil. Semua kena berlaku adil. Keadilan perlu ditegakkan agar tidak ada insan yang terinaya . Menghukum secara membabi buta adalah kezaliman. Bukti perlu dibuktikan. Siapa melihat dia menjadi saksi , siapa mendengar dia juga menjadi saksi. Tanggungjawab saksi amat berat.

Suku sakat ikan Telaga Tok Jabah perlu mengenalpasti punca mengapa kejadian ini berlaku. Mengapa satu persoalan yang besar, yang perlu dijawab.

Tok Keli sebagai ikan berpengaruh harus mencari punca. Jumpa punca senang dirongkai sebarang masalah . Tok Keli harus berperanan kerana Tok Keli punya mulut yang berbisa. Cakap Tok Keli adalah cakap perintah. Bisa Tok Keli adalah pemusnah. Mengharapkan spesis haruan menyelesaikan masalah, tidak boleh. Kronisme pasti ada. 


Bersambung....