Sunday, November 21, 2010

Cerrpen : Haruan

Telaga Tok Jabah gempar. Seluruh jagat tahu . Tahu berita haruan makan anak. Haruan Bantut makan anak bila ibunya keluar mencari rezeki. Ah, serakahnya nafsu haruan! Kenapa? Kenapa boleh jadi begini. Dimana hilangnya maruah semua ikan dalam Telaga Tok Jabah. Malu oh betapa malu, malu yang amat besar. Malu kalau berita ini tersebar ke telaga-telaga lain. Malu kalau tersebar ke sungai-sungai besar. Sudah pasti berita ini akan tersebar apabila ada ikan-ikan lain datang melawat sanak saudaranya di Telaga Tok Jabah dan kemudian kembali ke sungai-sungai, ke parit-parit, ke bekas-bekas lombong . Pasti!

Malu apabila anak-anak muda yang tinggal di telaga ini keluar berkerja di luar dan membawa berita ini. Dan lebih memalukan jika ikan-ikan lain tahu bahawa mereka berasal dari Telaga Tok Jabah. Di mana hendak disorokan muka. Berita ini tidak boleh di halang. Siapa yang boleh menutup mulut celupar Temekung. Temekung akan menjajanya keseluruh kawasan, di bawah jambatan, di bawah rumah tepi sungai. Temekung jaja. Berita ini akan tersebar dengan cepat sekali bersama derasnya aliran air. Bau hanyir darah dara anak haruan akan tersebar melalui air yang mengalir.



Kenapa boleh jadi begini?
Kenapa?

Mungkinkah haruan tertarik kepada ikan lampam yang selalu bermain di celah-celah akar pokok jawi. Haruan tertarik dengan Lampam Jawa atau Lampam Ara yang putih bersih. Yang selalu mendamparkan diri di bawah silauan cahaya mentari. Haruan Bantut tidak tahan dengan keletah manja lampam-lampam yang bukan spesiesnya. Kemanjaan yang menggoda.

Di mana hilangnya keimanan haruan sebagai wargatua. Kenapa sanggup makan anak sendiri. Di mana letaknya nilai moral Haruan Bantut sehingga sanggup makan anak sendiri. Hilangkah pertimbangan Haruan Bantut sebagai wargatua, peneroka awal Telaga Tok Jabah .

Tingkah laku Haruan Bantut bukan sahaja memalukan dirinya sahaja malah spesies haruan jantan turut merasa tempiasnya. Siapa yang berasa dirinya jantan akan terasa malunya . Lainlah kalau ada yang jantan di telaga Tok Jabah tidak mahu mengaku jantan. Golongan wargatua akan disindir, tidak akan dipercayai lagi. Kaum ibu tidak berani meninggalkan anak-anak untuk dijaga oleh kaum bapa. Mereka takut peristiwa ini akan berulang lagi. Mereka takut perkara ini akan menjadi ikutan kaum bapa lain.



Kenikmatan daging lembut anak-anak haruan menjadi idaman jantan-jantan. Manis dan enak . Ah! Malah mereka akan takut jika datuk ikan turut bertindak dengan cara yang sama. Memakan cucu. Ya! Perkara ini pasti berlaku , bukankah Tuk Haruan juga jantan. Jantan tetap jantan, di mana-manapun jantan walaupun dimamah usia. Hajat tetap bergelora, nafsu tetap serakah. Kebimbangan kaum ibu adalah kebimbangan hakiki.

Tok Keli turut merasa malu. Tok Baung turut malu. Malu yang amat besar. Golongan bapa akan dipandang sinis. Pandangan yang menghina.

Pintu masuk ke Telaga Tok Jabah, tempat lepak golongan tua kerana kejernihan airnya akan menjadi tempat yang ditakuti oleh haruan dara, sepat dara dan dara-dara yang lain. Jelingan-jelingan kaki lepak ini akan menakutkan mereka. Mereka takut peristiwa itu akan berulang kembali. Selama ini kisah seperti ini sudah mereka dengar di daerah-daerah lain. Sungai Pahang pun pernah berlaku, Sungai Perak pun pernah berlaku dan banyak lagi tempat yang mereka dengar pernah berlaku peristiwa haruan makan anak. Terbaru di Sungai Kelantan.


Tapi kini, di daerah sendiri, tepi rumah mereka sendiri. Ikan yang mereka kenali. Haruan Bantut siapa yang tidak kenal. Ikan haruan yang paling gagah diantara haruan- haruan yang ada dalam telaga Tok Jabah. Siapa yang berani melawan Haruan Bantut ibarat menempah maut. Kegagahannya tersebar ke telaga-telaga lain. Tubuhnya besar, hitam dan sasa.

Tapi, kenapa kali ini Haruan Bantut tewas. Dimana letaknya kegagahannya selama ini. Tewas bererti kalah. Kalah bererti hilangnya maruah. Maruah yang dipertahankan setiap spesies ikan. Hilang maruah hilang harga diri. Dimana hendak disimpan muncung Haruan Bantut. Akar-akar pokok jawi tidak mampu melindung mukanya yang sudah terconteng.

Perdu-perdu nipah sudahpun dipenuhi oleh haruan-haruan jantan lain yang turut merasa malu. Tiada lagi tempat bersembunyi. Sudah pasti suatu masa nanti Haruan Bantut akan terserempak ikan-ikan lain. Mampus kalau ia terserempak dengan Temekung Kuala. Suaranya saja sudah menyakitkan telinga inikan pula kalau ada cerita sensasi.


Menyalahkan Haruan Bantut sepenuhnya tidak adil. Semua kena berlaku adil. Keadilan perlu ditegakkan agar tidak ada insan yang terinaya . Menghukum secara membabi buta adalah kezaliman. Bukti perlu dibuktikan. Siapa melihat dia menjadi saksi , siapa mendengar dia juga menjadi saksi. Tanggungjawab saksi amat berat.

Suku sakat ikan Telaga Tok Jabah perlu mengenalpasti punca mengapa kejadian ini berlaku. Mengapa satu persoalan yang besar, yang perlu dijawab.

Tok Keli sebagai ikan berpengaruh harus mencari punca. Jumpa punca senang dirongkai sebarang masalah . Tok Keli harus berperanan kerana Tok Keli punya mulut yang berbisa. Cakap Tok Keli adalah cakap perintah. Bisa Tok Keli adalah pemusnah. Mengharapkan spesis haruan menyelesaikan masalah, tidak boleh. Kronisme pasti ada. 


Bersambung....

No comments:

Post a Comment